Wednesday, April 25, 2012

Kemunculan kafe siber di negara kita seumpama cendawan tumbuh selepas hujan. Keadaan ini memang mengharumkan nama baik negara kita sebagai negara yang maju dalam teknologi komputer. Pada zaman dahulu, nenek moyang kita hidup dalam dunia yang mundur daripada segi teknologi dan kafe siber belum wujud. Kini, kita hidup dalam dunia yang serba maju dan kemunculan kemunculan kafe siber bukan lagi isu katak ditimpa kemarau. Perbezaan antara dua zaman ini seumpama langit dangan bumi. Namun begitu, kemajuan ini yang begitu ketara juga mendatangkan keburukan yang tidak boleh dipandang rendah, termasuklah kemunculan kafe siber. Apakah keburukan yang didatangkan oleh kafe siber?

  Salah satu daripada keburukan yang didatangkan oleh kafe siber ialah kehilangan tumpuan pelajar dalam kelas. Hal ini kerana para pelajar berfikiran bahawa permainan komputer di kafe siber lebih menarik jika dibandingkan dengan pelajaran. Akibatnya, prestasi pelajar akan merosot kerana pelajar tidak menerima informasi yang disampaikan oleh gurunya dangan sepenuhnya. Para pelajar seharusnya menumpukan perhatian dalam kelas supaya mereka boleh menyerap ilmu pengetahuan dengan lebih efektif. Untuk merealisasikan keadaan ini, pihak kerajaan kita perlu mengurangkan bilangan kafe siber di negara kita supaya prestasi pelaja boleh diperbaikikan.

  Selain itu, kemunculan kafe siber menyebabkan kebanyakan pelajar ponteng sekolah. Kafe siber sudah menjadi tempat pelajar berpelesiran kerana ia seumpama penghibur terbaik pelajar. Keadaan ini seumpama dikenakan garam atas luka apabila para pelajar sanggup ponteng sekolah untuk mengunjungi kafe siber. Hal ini menunjukkan keseriusan impak kafe siber dalam kalangan pelajar. Mereka rela mengorbankan masa belajar mereka untuk mengunjungi kafe siber. Akibatnya, mereka gagal menyerap ilmu pengetahuan yang secukupnya. Bukan sekadar itu, terdapat segelintir pelajar yang dikenakan hukuman dibuang sekolah kerana memonteng sekolah. Namun begitu, mereka masih berkeras untuk mengunjugi kafe siber walaupun dihukum. Patutkah mereka mengorbankan masa depan mereka yang cerah sekadar untuk mendapat hiburan yang terhad?

   Di samping itu, kemunculan kafe siber akan memudaratkan kesihatan para pelajar. Hal ini sedemikian keran kebanyakan pengguna komputer, termasuklah para pelajar, tidak mengamalkan posisi  serta postur yang betul. Oleh itu, tulang belakang mereka mula membengkok kerana tekanan ke atasnya terlalu besar. Selain itu, monitor komputer juga memancarkan sinaran ultraungu yang boleh menjejaskan penglihatan pelajar. Itulah sebab kebanyakan pelajar pada hari ini mempunyai penglihatan yang lemah. Jika ditinjau dengan teliti, mata kita kurang berkelip apabila kita sedang  menggunakan komputer kerana kita tertarik oleh pancaran cahaya yang berwarna. Hal ini menyebabkan kita mengalami mata kering dan dijangkiti penyakit-penyakit yang lain seperti myopia dan hyperopia. Tambahan pula, kesan negatif pancaran cahaya komputer yang terlampau terang terhadap mata ditambahseriuskan apabil digabungkan dengan suasana gelap di dalam kafe siber. Oleh sebab itu, wajarlah para pelajar mengurangkan kunjungan mereka ke kafe siber.

   Lebih-lebih lagi, memang tidak boleh dinafikan bahawa kafe siber ialah salah satu sumber maklumat dan informasi yang bersifat negatif. Di kebanyakan kafe siber, komputer tidak mempunyai sekatan maklumat dan informasi yang negatif. Tambahan pula, para pelajar tidak akan diawasi oleh ibu bapa dan guru mereka. Mereka sering menggangap mereka sebagai pendalang mereka untuk melayari laman web yang disukai oleh mereka. Di kafe siber, mereka bebas melayari sebarang laman web yang terdapat dalam dunia media. Malangnya, mereka terdedah kepada sebarang informasi dan maklumat di kafe siber. Maka dalam jangka masa yang panjang, para pelajar yang pergi ke kafe siber untuk melayari Internet akan dipengaruhi oleh maklumat tersebut dan mereka akan mengalami kerosakan akhlak yang serius.

   Secara tuntasnya, kafe siber diwujudkan di Malaysia hanyalah untuk kebaikan orang ramai, Namun begitu, terdapat golongan yang menyalahgunakannya dan menjadikannya sebagai salah satu pihak yang disalahkan atas kerosakan akhlak orang ramai, terutamanya golongan pelajar. Kafe siber tidak patut dipersalahkan secara bulat-bulat kerana pihak-pihak lain seperti ibu bapa, pihak sekolah, rakan sebaya dan pihak kerajaan juga memikul tanggungjawab yang tertentu terhadap masalah dalam kalangan remaja. Walau bagaimanapun, setiap masalah pun ada cara penyelesaiannya, bak kata orang-orang tua, tiada kusut yang tidak selesai dan tiada keruh yang tidak jernih. Tindakan yang rasional perlulah dilaksanakan secepat mungkin terhadap kafe siber demi masa depan para pelajar.

1 comment: